25 Julai 2016

Bandar baharu berciri Islam bernilai hampir RM1 bilion di Tok Bali

PASIR PUTEH: Pembangunan bandar baharu bercirikan Islam bernilai hampir RM1 bilion di Tok Bali di sini dijangka dapat dilaksanakan tahun depan apabila segala kelulusan yang berkaitan telah diperoleh.

Ketua Jajahan Pasir Puteh Mohd Anis Hussein berkata pihak pemaju projek telah menyerahkan kertas kerja lengkap mengenai projek itu kepada pihaknya sebelum Aidilfitri lepas.

Kertas kerja terperinci itu akan dikemukakan kepada kerajaan negeri pada akhir tahun ini untuk mendapat kelulusan, kata beliau kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat jajahan Pasir Puteh di sini, hari ini.

Mohd Anis, yang juga Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Puteh, berkata ia akan menjadi bandar kedua terbesar di Kelantan selepas Kota Baharu jika kesemua projek yang dirancang selesai dilaksanakan.

Selain Tok Bali, turut dirancang ialah bandar baharu Cherang Tuli dan berhampiran Taman Perumahan Bukit Gedombak yang kini dalam proses penyediaan tapak oleh sebuah syarikat terkemuka.

Sumber: Bernama | 25 Julai 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan