05 November 2015

TBSB, HESS meterai MoU bagi pacu ekonomi Kelantan

Foto ihsan: Facebook Datuk Ahmad Yakob
PASIR PUTEH: Tok Bali Supply Base Sdn Bhd (TBSB) dan HESS Exploration and Production Malaysia Inc hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memacu ekonomi negeri Kelantan.

Pengerusi TBSB Tengku Datuk Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata melalui perjanjian itu, HESS akan melaksanakan operasi luar pantainya di Pangkalan Pembekalan Tok Bali, yang dikendalikan oleh TBSB.

"Dengan kerjasama ini, TBSB akan dapat memberi khidmat kepada syarikat minyak dan gas terkemuka yang memerlukan mutu perkhidmatan pada tahap tinggi.

"Ia juga akan menarik lebih banyak syarikat berkaitan minyak dan gas untuk mendarat di Pangkalan Pembekalan Tok Bali sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian TBSB di sini hari ini.

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan merasmikan majlis tersebut. Antara perkhidmatan yang ditawarkan di Pangkalan Pembekalan Tok Bali adalah pembekalan dan penyimpanan, bahan api dan air, barangan keperluan serta gudang.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggung Kelantan berkata pembangunan pangkalan itu akan menjadi asas kepada kewujudan bandar baharu di Tok Bali selain menjadi titik permulaan kepada aktiviti berkaitan di negeri ini.

"Projek ini telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan yang penting, keupayaan untuk menjana peluang perniagaan seiring dengan pertumbuhan kami," katanya.

Perjanjian turut ditandatangani dengan beberapa syarikat lain dalam bidang khidmat sokongan seperti Bayam Enterprise, OAE Asia Pacific, Basra Oil, Petrozchem Oilfield Serviced, TTES Frontken Intergrated Services, Upstream Down Stream Process and System dan Samudera Timur Sdn Bhd.

"Kita akan mengenal pasti lebih banyak syarikat lain pada masa akan datang untuk memberi perkhidmatan di Pangkalan Pembekalan Tok Bali," kata Tengku Mohamad Rizam.

Ketua Pengarah Eksekutif TBSB Haida Shenny Hazri pula berkata Pangkalan Pembekalan Tok Bali mula beroperasi pada April lalu dan mampu menerima lima buah kapal bersaiz sederhana pada satu-satu masa.

Sumber: Bernama | 3 Nov. 2015