23 Mac 2016

MITI promosi Tok Bali produk pelaburan baharu di Kelantan

PASIR PUTEH: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mempromosikan Tok Bali di Pasir Puteh sebagai produk pelaburan baharu untuk menarik pelabur antarabangsa ke Kelantan.

Pengarah MITI Kelantan, Azran Deraman berkata Tok Bali mempunyai pelbagai prasarana terutamanya pangkalan pembekalan untuk industri minyak dan gas.

Menurutnya, Tok Bali yang terletak menghadap Laut China Selatan mempunyai pelabuhan dengan benteng pemecah ombak untuk keselamatan kapal berlabuh.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan di sini, hari ini.

Azran berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan terutamanya dalam urusan pengambilan balik tanah bagi projek pembangunan di Tok Bali.

Beliau berkata sejak awal tahun ini, ramai pelabur yang melawat Tok Bali menunjukkan minat untuk melabur di kawasan tersebut.

SumberBernama | 23 Mac 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan