13 Mei 2015

Kepakaran Tak Bai diintai bantu majukan pelancongan di Tok Bali

Keindahan dan kedamaian Tok Bali. Foto ihsan: www.cutikelantan.com
PASIR PUTEH: Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh berminat mendapatkan bantuan kepakaran pihak berkuasa daerah Tak Bai, selatan Thailand untuk memajukan industri pelancongan di bandar baharu perikanan Tok Bali di sini.

Ketua Jajahan Pasir Puteh Mohd Anis Husein berkata Tok Bali mempunyai banyak produk pelancongan yang boleh dibangunkan setanding dengan kepesatan industri pelancongan di daerah Tak Bai yang bersempadan dengan Kelantan.

"Kita mempunyai Terusan Semerak dan Pantai Bisikan Bayu yang sangat berpotensi untuk menarik pelancong dan bantuan kepakaran pihak berkuasa Tak Bai itu diperlukan kerana mereka lebih maju berbanding dengan kita di sini," katanya kepada pemberita selepas meraikan delegasi 12 pegawai dari Tak Bai di Tok Bali di sini Selasa.

Mereka diketuai Pegawai Daerah Tak Bai, Somsak Sittiworakam yang mengadakan lawatan sehari ke Jajahan Pasir Puteh.

Mohd Anis berkata pihaknya berminat untuk mempelajari bagaimana pihak berkuasa daerah Tak Bai memajukan industri pelancongan sungai.

Beliau berkata selama ini, hanya rakyat negara ini dilihat lebih ramai berkunjung ke negara jiran itu untuk melancong.

"Sudah tiba masanya kita merangka sesuatu bagaimana memikat lebih ramai pelancong Thailand berkunjung ke negara ini," katanya.

Sementara itu, Somsak berkata pihaknya akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa di sini bagaimana untuk memajukan Tok Bali yang disifatkannya mempunyai landskap sangat menarik.

Beliau berkata walaupun Tok Bali lebih kecil berbanding Phuket dan Pattaya di Thailand, ia sesuai dikembangkan sebagai destinasi pelancongan keluarga.

Sumber: BERNAMA | 13 Mei 2015