07 Jun 2015

Empat sarang dadah dimusnahkan

Satu lagi sarang dadah di Kampung Lembah dimusnahkan menerusi program My Beautiful Malaysia, kelmarin.
PASIR PUTEH: Selepas berjaya memusnahkan tiga kawasan yang dijadikan sarang penagihan dadah di Kampung Lembah di sini, dua minggu lalu, satu lagi sarang dadah di kawasan sama diserbu, kelmarin.

Tindakan menerusi program My Beautiful Malaysia anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama beberapa agensi lain itu menjadikan kawasan itu sifar sarang dadah.

Ketua Pegawai AADK Pasir Puteh, Normazainy Mat Roni berkata, kesemua sarang dadah itu dibina di dalam kawasan semak dan agak tersembunyi bagi mengelak kegiatan dihidu pihak berkuasa.

“Penagih membina bangsal dan wakaf sebagai tempat mereka melepaskan gian kerana hasil serbuan kita menemui kesan penagihan seperti jarum suntikan.

“Kita menggerakkan operasi atau gotong-royong merobohkan sarang dadah dengan harapan kawasan ini bebas daripada aktiviti itu pada masa akan datang,” katanya.

Seramai 100 sukarelawan daripada AADK, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh, Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), polis, Rela, bomba, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Iada Kemasin Semerak, Kada, Majlis Belia Jajahan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan masyarakat menyertai gotong-royong itu.

Katanya, My Beautiful Malaysia diadakan di seluruh negara membabitkan pelbagai lapisan masyarakat dalam beberapa aktiviti di mana agensi kerajaan dan masyarakat sama-sama menggembleng tenaga untuk menjayakannya.

Normazainy berkata, risikan awal dilakukan bagi mengesan sarang dadah sebelum membersihkan lokasi tersebut secara menyeluruh.

“Semerak merupakan kawasan berfokus kami, kita dapati terdapat banyak sarang dadah di daerah ini tapi kita memulakannya di Semerak,” katanya.

Menurutnya, komitmen tinggi semua yang terlibat dalam gotong-royong itu amat dihargai dan berharap nilai murni seperti itu berkekalan kerana ia memberi kebaikan kepada semua.

“Ini menunjukkan kesedaran tinggi masyarakat kita untuk sama-sama membantu usaha kerajaan memerangi dadah," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 7 Jun 2015

02 Jun 2015

Projek Jalan Pintasan Pasir Puteh - Tok Bali hampir siap

Kerja-kerja pembinaan jambatan utama sudah hampir siap. 
TOK BALI: Projek pembinaan Jalan Pintasan Pasir Puteh - Tok Bali sepanjang kira-kira 12 kilometer dari Kg. Alor Pasir, Pasir Puteh melalui Gong Kulim dan berakhir berhampiran Pelabuhan LKIM Tok Bali sudah hampir siap. 

Tinjauan Gerbang Tok Bali pada 29 Mei 2015 mendapati bahawa kerja-kerja utama termasuk pembinaan dua buah jambatan telah hampir siap.

Projek jalan pintasan ini sememangnya mendapat perhatian Penyelia Dun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim yang sentiasa memantau perkembangan projek ini dari masa ke masa untuk kemudahan rakyat. 

Jalan Pintasan Pasir Puteh - Tok Bali ini dijangka dapat dibuka kepada lalu lintas tidak lama lagi. 
Laluan ini dijangka dapat dibuka kepada pengguna jalan raya tidak lama lagi setelah kerja-kerja landskap dan pemasangan besi penghadang jalan dapat disiapkan oleh kontraktor yang dilantik.

Dengan pembukaan jalan pintasan ini kelak, ia akan dapat merancakkan lagi pembangunan di sekitar Tok Bali terutamanya dengan pembangunan Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali dan Pelabuhan Tok Bali. 

Sumber: Gerbang Tok Bali | www.gerbangtokbali.blogspot.com

Kelantan susun semula pelan pembangunan Tok Bali

PASIR PUTEH: Kerajaan Negeri Kelantan akan menyusun kembali pelan tindakan pembangunan bandar baharu perikanan Tok Bali di sini, menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dalam usaha menarik pelaburan bernilai RM1 bilion dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob (gambar) berkata Perbadanan Pembangunan Tok Bali diberi tanggungjawab bagi program penyusunan semula itu dengan menggerakkan agensi berkaitan seperti Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

"Selepas penyusunan itu, pihak berkaitan akan diminta memainkan peranan masing-masing untuk memajukan kawasan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Jawatankuasa Pengelola Kemajuan Sekolah Menengah Arab Nurul Falah di Cherang Ruku di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan pelbagai pihak berhubung proses pembangunan bandar baharu itu yang perlahan dan tidak menepati pelan perancangan.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dipetik sebagai berkata projek pembangunan pelabuhan Tok Bali dijangka mampu menarik pelaburan sehingga RM1 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Mustapa berkata sehingga kini terdapat kira-kira 100 syarikat yang berpotensi untuk melabur dalam projek berkenaan dan ia dijangka memberi manfaat kepada kawasan sekitar serta Kelantan secara keseluruhan.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata pembangunan itu mengambil masa kerana kerajaan negeri perlu mengatasi pelbagai kekangan termasuk Pelabuhan Tok Bali yang sehingga kini belum lagi mendapat status pelabuhan dan hanya berfungsi sebagai 'supply base' sahaja.

Dalam pada itu, katanya kerajaan perlu merancang barangan yang perlu dieksport termasuk getah dan kelapa sawit serta barangan yang perlu diimport.

"Kalau ada eksport sahaja sudah tentu tidak menguntungkan, sebaliknya perlu ada tindak balas," katanya.
 
Sumber: Bernama | 2 Jun 2015