28 Mac 2015

Rangkaian pengedaran dadah di Semerak tumpas

Dadah dan barangan lain yang dirampas daripada rangkaian pengedar dadah di Semerak.
PASIR PUTEH: Pelbagai jenis dadah bernilai RM10,000 dirampas daripada satu rangkaian pengedar yang menjadikan pulau peranginan berdekatan sebagai sasaran utama.

Tiga lelaki daripada rangkaian yang aktif di sekitar Semerak, ditahan di muara Tok Bali menerusi Ops Pensura 1/5 yang digerakkan Pasukan Polis Marin Tok Bali.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, sepasukan anggota diketuai Pegawai Pemerintah Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Tok Bali, Inspektor Nik Ali Nik Mat mengesan satu bot dalam keadaan mencurigakan jam 12 tengah hari.

Katanya, seorang lelaki berusia 30 tahun berjaya ditahan selepas cuba melarikan diri dengan memecut botnya ketika dihampiri bot Polis Marin.

“Bot itu ditahan dan hasil pemeriksaan dilakukan, menemui beg berwarna kuning mengandungi satu lagi beg kecil berwarna biru yang menyimpan satu tin kecil yang mengandungi tiga botol plastik serbuk putih dipercayai heroin.

“Kita juga temui satu straw pendek yang berisi satu biji pil merah, satu straw merah berisi pil hijau, satu tiub plastik cerah berwarna oren mengandungi serbuk putih yang kesemuanya dipercayai dibungkus untuk dipasarkan kepada penagih menerusi jalan laut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh di sini, semalam.

Menurutnya, suspek yang dikenal pasti penduduk di sebuah pulau yang berhampiran disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksen 12(2) akta yang sama selepas ujian kencing menunjukkan suspek positif Methamphetamine.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut suspek mengakui mendapat bekalan dadah di sekitar Semerak untuk diedarkan di sebuah pulau peranginan di daerah Besut, Terengganu.

“Hasil maklumat suspek, polis diketuai Inspektor Nur Amarina Shamsuddin terus jejaki pembekal dadah dengan menangkap seorang suspek lelaki berusia 42 tahun beberapa jam kemudian di sebuah kampung di Semerak. Tiada sebarang rampasan dadah dari lelaki tapi positif dadah dan disiasat di bawah Seksyen 12(1) ADB 1952,” katanya.

Abdul Rozak berkata, hasil maklumat suspek kedua, seorang lelaki berumur 20 tahun yang dipercayai sebagai pengedar utama berjaya ditangkap ketika menunggang motosikal di sebuah kampung di Semerak pada jam 9 malam hari yang sama.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati beg yang digalas suspek mengandungi 200 pil dipercayai pil kuda, 70 pil dalam tujuh paket plastik berwarna merah dipercayai Eramin 5, dua biji pil berwarna hijau yang dibungkus berasingan dan satu paket plastik cerah yang mengandungi tujuh biji pil berwarna coklat pudar.

Beliau berkata, turut ditemui ialah senjata besi buku lima dan wang tunai berjumlah RM240 dipercayai hasil jualan dadah secara runcit.

“Polis percaya ketiga-tiga suspek yang ditahan reman sejak semalam adalah satu rangkaian pengedar dadah yang menggunakan jalan laut yang sebelum ini dianggap selamat oleh mereka,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 28 Mac 2015

Pengusaha ternakan ikan alami kerugian akibat pencemaran air laut

Sebahagian induk ikan siakap yang diternak mati disebabkan faktor kepanasan suhu dan kualiti air laut.
TOK BALI: Pengusaha projek penternakan dan pembiakan ikan di sini, mengalami kerugian hampir RM2 juta kerana terpaksa menghentikan operasi selepas ratusan induk ikan siakap serta kerapu mati, dipercayai berpunca daripada kesan suhu persekitaran dan air mengandungi kadar ‘iron’ tinggi.

Ismaniza Ismail, 45, yang mengusahakan projek berkenaan berkata, sebanyak 350 ekor induk ikan siakap mati secara tiba-tiba disebabkan kepanasan melampau yang mencecah 38 darjah Celsius setiap hari.

Katanya, anak-anak ikan yang baru menetas turut mati kerana air laut yang disedut dari pantai berhampiran dipercayai tercemar berikutan kawasan itu dijadikan tempat longgokan bijih besi.

“Masalah itu menyebabkan pusat penetasan ini ditutup sejak 15 Ogos 2013 lagi selepas mengalami kerugian RM1.5 juta ketika itu.

“Saya cuba bertahan tetapi tidak mampu kerana kadar kerugian semakin meningkat, apabila menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan air laut berkualiti,” katanya.

Menurutnya, kandungan air laut mengandungi unsur besi apabila ‘Sand Filter’ yang digunakan menunjukkan berlaku pencemaran tersebut.

Katanya, usaha membekalkan benih ikan kepada pengusaha akuakultur Bumiputera tidak bertahan lama.

“Air tercemar dengan unsur besi menyebabkan induk ikan siakap mengalami kerosakan usus, tidak selera makan dan akhirnya mati, selain mudah menghidap penyakit bawaan air menyebabkan induk ikan mati secara mengejut dalam bilangan yang banyak.

“Saya mulakan projek penetasan itu sejak 1999 lagi dengan usaha pembenihan udang harimau dan memulakan pembenihan ikan siakap sejak 2004. Selepas pelabuhan Tok Bali mula beroperasi, usaha dilaksanakan mula menerima kesan dan ia terjejas teruk bermula Januari 2012,” katanya.

Ismaniza berkata, kesan pembersihan persekitaran melalui pembakaran terbuka menjurus kepada peningkatan suhu dan gegaran jentera yang menjalankan kerja-kerja pembangunan pelabuhan itu menyebabkan projek diusahakan tidak lagi mendatangkan hasil.

“RM800,000 dibelanjakan untuk memastikan usaha mengenal pasti dan mencari teknik bersesuaian dengan kerjasama syarikat lain turut menemui kegagalan.

“Pusat ini pada suatu ketika menjadi pusat pengeluaran telur dan benih ikan berdaya maju yang menjadi penyumbang terbesar bekalan ikan laut di negara ini. Saya berhasrat meneruskannya tetapi faktor persekitaran masih belum meyakinkan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 27 Mac 2015

26 Mac 2015

Gelanggang sukan Muay Thai dibuka di Tok Bali

Fauzwi (kanan) dan Wan Hassan (dua, kiri) lihat pertunjukan muay thai sempena pembukaan gelanggang KMTAPTB.
TOK BALI: Pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, pusat, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disarankan terus beri sokongan kepada pembangunan seni mempertahankan diri di Kelantan.

Setiausaha Persatuan Muay Thai Kelantan, Fauzwi Ismail berkata, Kelantan antara negeri giat mengembangkan seni mempertahankan diri yang perlu diberi perhatian.

Katanya, Muay Thai yang juga seni bela diri dari negara jiran berjaya dikembangkan di negeri ini sehingga melahirkan ramai penggiat atau ‘anak Muay’.

Muay Thai kini sudah menjadi sukan antarabangsa dan Kelantan sebagai ‘kilang’ melahirkan ramai anak muay untuk negara.

“Anak-anak Muay ini perlu sentiasa mendapat dorongan agar mereka lebih bersemangat, demikian juga dengan kelab-kelab yang menggerakkannya,” katanya.

Menurutnya, anak muay di seluruh Kelantan perlu bersiap sedia menjalani latihan lebih serius bagi melayakkan mereka menyertai Kejohanan Antarabangsa Muay Thai Diraja yang dijangka diadakan di Kota Bharu, Oktober tahun ini.

Beliau yang juga Pengerusi Kelab Muay Thai Anak Putera Tok Bali (KMTAPTB) berkata, seperti kejohanan yang diadakan pada 2012, ia menjanjikan lebih cabaran dengan penyertaan peserta terpilih daripada pelbagai negara.

Beliau berkata demikian pada Majlis Buka Gelanggang KMTAPTB yang membabitkan 50 pelatih, disempurnakan Penyelia DUN Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim, di sini, malam kelmarin.

Wan Hassan selepas menyampaikan sumbangan peralatan muay thai berkata, gelanggang kelab tersebut akan dijadikan sebagai pusat atau kem bagi melahirkan bakat baharu muay Thai bagi DUN Semerak.

Katanya, anak muda DUN Semerak yang berminat boleh menyertai kem muay Thai itu, dengan latihan dikendalikan jurulatih tempatan, Shamsuddin Mohammad.

“Saya bangga kerana masih ramai guru sanggup melatih anak tempatan dalam seni bela diri, perkongsian ilmu ini membolehkan aktiviti itu dikekalkan.

“Kerajaan negeri akan sentiasa membantu serta beri dorongan supaya ia dapat dipertahankan selain buka lebih peluang kepada anak muda menyertai aktiviti sihat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 25 Mac 2015

07 Mac 2015

Golongan remaja usah ghairah kejar ganjaran mengedar dadah

Mazlan (dua, kiri) beramah mesra dengan kariah Masjid Kampung Pulau Lima selepas selesai menunaikan solat Jumaat, semalam.
PASIR PUTEH: Golongan remaja diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan upah lumayan antara RM500 hingga RM1,000 sebulan yang ditawarkan pengedar dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, golongan terbabit tidak menyedari mereka sebenarnya ditipu oleh sindiket yang sengaja menjadikan mereka sebagai mangsa.

“Upah sebanyak itu cukup untuk membuatkan pelajar gelap mata dan lebih menyedihkan mereka terseret ke kancah dadah,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan rekod polis bermula Januari hingga 3 Mac lalu, seramai 83 remaja berusia 18 tahun ke bawah berjaya ditangkap atas kesalahan menagih dan mengedar dadah.

Daripada jumlah itu katanya, 16 adalah pelajar sekolah, lima penuntut universiti dan selebihnya remaja yang sudah tidak bersekolah.

“Mereka terpengaruh dengan janji manis sindiket pengedar dadah yang menawarkan pelbagai tawaran menarik termasuk pakej pelancongan selain ganjaran wang tunai.

“Kerana ghairah untuk mendapat ganjaran itu, mereka sanggup menjadi keldai dadah tanpa rasa takut kepada undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Pulau Lima, Semerak, dekat sini, semalam.

Terdahulu, Mazlan mengadakan lawatan sempena Program Komuniti Polis Kelantan bersama masyarakat Semerak, dekat sini.

Hadir sama, Adun Semerak, Zawawi Othman; Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Abd Rozak Muhammad dan Imam Tua Masjid Pulau Lima, Abd Ghaffar Awang.

Dalam pada itu Mazlan berkata, institusi masjid berperanan besar dalam membantu polis menyampaikan maklumat kepada masyarakat terutama remaja melalui teks khutbah dan majlis ilmu anjuran masjid.

“Kami menggariskan tiga pendekatan iaitu meminta orang awam menyalurkan maklumat, mengeratkan hubungan polis dengan komuniti dan sentiasa mengadakan rondaan bersama seperti Skim Rondaan Sukarela (SRS).

“Kerjasama masyarakat setempat adalah penting dalam membantu polis bagi membendung gejala negatif termasuk pembabitan remaja dalam jenayah,” katanya.

Ketika ditanya mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Chempaka, beliau berkata, seramai 600 anggota polis akan ditempatkan ketika hari penamaan calon dan sepanjang kempen.

“Seramai 1,000 anggota polis pula akan dikerahkan bertugas pada hari pembuangan undi, hanya polis Kelantan terlibat.

“Saya mohon kerjasama daripada penyokong parti yang bakal bertanding kelak supaya sentiasa menjaga tingkah laku dan keamanan demokrasi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 7 Mac 2015

03 Mac 2015

APMM tahan bot nelayan Viet Nam tangkap gamat di perairan Tok Bali

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini menahan sebuah bot laut dalam nelayan Viet Nam kerana menceroboh perairan negara ini untuk menangkap gamat di kawasan 37 batu nautika timur laut Tok Bali di sini, awal pagi tadi.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 10 Tok Bali, Komander Maritim Khoo Teng Chuan berkata pihaknya turut menahan seorang tekong dan empat awak-awak serta merampas lima kilogram gamat pada 1 pagi tadi.

"APMM juga merampas sebuah tangguk iaitu sejenis peralatan yang digunakan untuk menangkap gamat," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat APMM Daerah Maritim 10 Tok Bali di sini.

Khoo berkata kegiatan nelayan asing itu boleh merosakkan ekosistem laut dan mengurangkan hasil tangkapan ikan oleh nelayan selain gamat merupakan spesies dilindungi.

Sehingga kini, APMM telah menahan empat bot Vietnam dan merampas 400 hingga 500 kilogram gamat bernilai antara RM10,000 dan RM20,000, katanya.

Khoo berkata pencerobohan nelayan asing untuk menangkap gamat semakin menjadi-jadi di perairan Kelantan dalam tempoh dua hingga tiga bulan lepas berikutan harga gamat di Vietnam adalah tinggi iaitu RM26 sekilogram berbanding RM10 di pasaran tempatan.

Dalam pada itu, katanya APMM akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendakwa ketua kumpulan nelayan itu kerana menyogok wang tunai RM5,000 kepada anggota APMM yang menahan mereka.

Jelasnya, nelayan terbabit juga akan didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran dan jika sabit kesalahan bot akan dirampas, tekong akan didenda tidak lebih RM1 juta dan awak-awak didenda tidak lebih RM500,000.

Sumber: BERNAMA | 3 Mac 2015