31 Julai 2016

Projek mendalamkan Terusan Semerak bermula Mac tahun depan

BACHOK: Projek mendalamkan Terusan Semerak di Tok Bali, Pasir Puteh bernilai RM20 juta akan mula dilaksanakan pada Mac tahun depan.

Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Kemasin Semerak (IADA) Mohamad Kaberi Ghani berkata projek itu yang dijangka siap pada 2018, bertujuan membolehkan bot nelayan yang lebih besar melalui terusan sepanjang 7.5 kilometer itu.

Pada masa ini, paras kedalaman terusan berkenaan adalah lima meter dan akan diperdalamkan lagi sehingga lapan meter, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pejabat IADA di sini hari ini.

Terusan Semerak merupakan nadi utama kepada pembangunan bandar perikanan di Tok Bali dan memberi kemudahan kepada lebih 300 bot nelayan laut dalam dan nelayan tradisional mendaratkan hasil tangkapan di Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali.

Mohamad Kaberi berkata kerajaan persekutuan juga meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi mendalamkan Sungai Gali di Beris Lalang di sini mulai tahun depan.

Mohamad Kaberi berkata pada masa ini, sungai berkenaan hampir tertimbus dengan pasir dan lumpur dan berada dalam keadaan kritikal terutama apabila musim kemarau.

"Antara 50 dan 70 nelayan tradisional terpaksa bergotong-royong menolak bot mereka keluar ke laut dan masuk semula ke jeti setiap hari berikutan paras air sungai berkenaan yang cetek," katanya.

Sumber: Bernama | 31 Julai 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan