23 Februari 2018

ECRL: Peluang untuk syarikat tempatan

BENTONG: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM55 bilion akan membuka peluang kepada syarikat tempatan yang berkelayakan untuk menyertai pakej tender bagi kerja-kerja infrastruktur mulai April ini.

Ketua Pembinaan Infrastruktur Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Noor Azlan Salleh berkata, tender tersebut akan dikeluarkan oleh China Communications Contruction Company (CCCC) secara berperingkat-peringkat.

Katanya, sebanyak 30 peratus daripada tender berkenaan akan diperuntukkan kepada syarikat-syarikat tempatan yang mempunyai keupayaan untuk terlibat dalam projek berimpak tinggi itu.

“Setakat ini, kami tidak mempunyai nilai yang spesifik bagi pakej tender ini tetapi cukup saya katakan, ia bernilai berbilion-bi­lion ringgit. Tender ini bagaimana­pun tidak termasuk kerja-kerja terowong dan sistem. Ini kerana seperti yang kita tahu kerja-kerja pembinaan rel melibatkan dua fokus utama iaitu infrastruktur dan sistem dengan nisbah 60:40.

“Sebahagian iaitu 30 peratus daripada kerja-kerja infrastruktur inilah yang kita akan berikan kepada syarikat tempatan yang la­yak. Sekalipun melibatkan kerja-kerja terowong, CCCC tidak boleh melakukannya secara bersendirian kerana kerajaan menetapkan syarat kerja-kerja letupan (blas­ting) terowong perlu melibatkan syarikat tempatan.

“Ini kerana kerajaan tidak mem­benarkan syarikat asing un­tuk terlibat dalam kerja-kerja letupan terowong ini. Bagi kerja-kerja pembinaan terowong pula, ada yang melibatkan penggunaan Mesin Pengorek Terowong (TBM) dan ada yang menggunakan kaedah gerudi dan letupkan,” katanya kepada media ketika lawatan ke tapak projek ECRL di sini hari ini.

MRL, yang dimiliki sepenuh­nya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan adalah pemilik projek dan pemilik aset ECRL, manakala CCCC, syarikat milik kerajaan China bertanggungjawab sebagai kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pelaksanaan.

Pembinaan ECRL sejauh 688 kilometer akan menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Lembah Klang Raya sekali gus mengurangkan waktu perjalanan kepada empat jam dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak, Selangor.

Kerja-kerja trek dijangka siap pada Jun 2022 bagi membolehkan projek tersebut beroperasi menjelang pertengahan 2024.

Secara keseluruhan, ECRL mempunyai 45 terowong sepanjang 49 kilometer bagi keseluruhan jajaran termasuk Terowong Genting berkembar sepanjang 16.375 kilometer dari Bentong ke Gombak yang apabila siap akan muncul terowong rel terpanjang di Malaysia.

Setakat ini, projek ECRL sedang menjalani kerja-kerja permulaan termasuk ujian tanah, kerja-kerja asas, pembinaan kem-kem induk, pembinaan kem-kem satelit dan laluan masuk ke kawasan pembinaan.

Menurut Noor Azlan, apabila projek tersebut memasuki waktu puncak pada suku ketiga tahun depan, ia memerlukan tenaga kerja antara 18,000 hingga 20,000 orang.

“Daripada jumlah pekerja ini, 30 peratus terdiri daripada pekerja China dan negara-negara lain manakala 70 peratus untuk pekerja tempatan,” katanya.

Mengenai pembinaan Tero­wong Genting, beliau berkata, ia berukuran diameter sembilan meter de­ngan radius 4.5 meter akan digerudi menggunakan dua unit TBM.

Katanya, mesin tersebut yang dibawa dari China akan tiba di Pelabuhan Klang pada November ini dengan kerja-kerja penggerudian bermula pada suku pertama 2019.

“Apa yang menarik mengenai pembinaan terowong ini adalah cabaran untuk membawa mesin tersebut melalui lebuh raya dise­babkan saiznya yang besar kerana apa-apa sahaja yang berukuran lebih lima meter tidak boleh melalui mana-mana plaza tol.

“Untuk membawa mesin ini sahaja kita perlu meneliti laluan yang betul dan mula berbincang dengan pihak berkuasa terma­suk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuh Raya. Ini membolehkan kita mendapat beberapa nasihat dan pandangan supaya mesin ini boleh dibawa di lebuh raya termasuk kemungkinan membuka beberapa plaza tol,” ­katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Bisnes | 22 Februari 2018

22 Februari 2018

Pelabuhan Tok Bali dicadang sebagai hab eksport produk halal

PASIR PUTEH: Pelabuhan Tok Bali di sini akan dicadangkan sebagai hab eksport produk halal dari negeri ini terutama ke negara-negara di rantau ASEAN.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau akan mengemukakan cadangan itu untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.

Menurutnya, ini berikutan produk halal keluaran Kelantan sebelum ini dieksport menerusi kemudahan Pelabuhan Kuantan, Pahang serta Pelabuhan Klang di Selangor.

"Negara-negara terutamanya Kemboja, Vietnam dan Thailand selain Jepun (terletak) begitu hampir dengan Pelabuhan Tok Bali," katanya ketika berucap merasmikan program Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di sini, pada Sabtu.

Menurut Asyraf Wajdi, kewujudan hab itu akan turut memberi peluang lebih besar kepada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk mengeksport produk mereka.

Sehubungan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan diminta membantu pengusaha IKS negeri ini mendapatkan sijil halal bagi membolehkan mereka memperluaskan perniagaan masing-masing ke luar negara, katanya.

Sementara itu, ECER dalam satu kenyataan berkata, potensi perkembangan Pelabuhan Tok Bali itu akan turut dipacu oleh pembangunan berimpak tinggi yang bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan selain aspek keusahawanan kepada rakyat.

Sejajar kedudukannya di lokasi strategik, pelabuhan itu juga berpotensi sebagai hab pengedaran serantau bagi barangan perdagangan rentas sempadan terutama wilayah selatan Thailand.

Sumber: Bernama | 28 Januari 2018