22 September 2015

Hess pindahkan operasi ke Pangkalan Pembekalan Tok Bali mulai 15 Sept lepas

Bot JM Intan merupakan bot milik Hess pertama yang berlabuh di Pangkalan Pembekalan Tok Bali (TBSB) pada 15 September 2015. Foto ihsan: Tok Bali Supply Base Sdn. Bhd.. 
TOK BALI (Kelantan, Malaysia): Hess Corporation (Hess) telah memindahkan operasinya dari Pangkalan Pembekalan Kemaman, Terengganu ke Pangkalan Pembekalan Tok Bali (TBSB), Kelantan sejak 15 September 2015. 

Bot pertama mereka, iaitu JM Intan telah selamat berlabuh di Dermaga 4, TBSB tepat jam 09:45 pagi pada 15 September, manakala bos keduanya telah berlabuh di pangkalan pembekalan ini pada 18 September lepas. 

Menurut Muhammad Fakhrezal Zainordin, Pengurus Projek TBSB, mereka menjangkakan dua buah bot Hess akan berlabuh di pangkalan pembekalan ini pada setiap minggu. 

Hess merupakan sebuah syarikat multinasional yang berkaitan carigali minyak yang beribu pejabat di Bandar Raya New York (NYC), Amerika Syarikat dan mempunyai dua buah ibu pejabat serantau utama (key regional headquarters) di Houston (Amerika Syarikat) dan Kuala Lumpur (Malaysia).

Menurut beliau lagi, pada masa sekarang, TBSB beroperasi mengikut keperluan pelanggan dan secara umumnya beroperasi dari jam 08:00 pagi sehingga 05:00 petang. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat keperluan untuk beroperasi pada waktu malam, mereka tidak mempunyai sebarang masalah untuk beroperasi sehingga 24 jam sehari. 

Kemudahan asas untuk penempatan anggota kerja kastam, perkhidmatan kesihatan, polis, dan imigresen juga telah disediakan TBSB. Semua agensi yang berkaitan telah diberi maklum tentang operasi pangkalan pembekalan ini dan sudah ada antara mereka yang telah menempatkan anggota kerja mereka di pangkalan pembekalan ini seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM). 

Untuk maklumat lanjut tentang operasi dan juga pangkalan pembekalan ini, sila layari laman sesawang www.tokbali.com.my

Sumber: Gerbang Tok Bali | www.gerbangtokbali.blogspot.my

16 September 2015

Zon Keropok Kg. Dalam Rhu - Kg. Pachakan tidak pernah sunyi

Zon Keropok Pachakan menyaksikan pengusaha tempatan bersaing secara sihat dan menjaga kualiti produk.
PASIR PUTEH: Zon Keropok dari Kampung Dalam Ru ke Kampung Pachakan di sempadan Pasir Puteh-Kuala Besut menerima pengunjung sepanjang masa, yang membolehkan pengusaha tempatan menjana ekonomi dengan baik.

Zon tersebut kini menjadi tumpuan kerana produk seperti keropok keping, keropok lekor, keropok ala Losong, satar dan otak-otak yang dihasilkan, cukup berkualiti.

Seorang pengusaha, Roslan Muda, 51, berkata, orang ramai tidak perlu lagi ke Terengganu semata-mata untuk mendapatkan keropok yang enak kerana pengusaha tempatan mampu mengeluarkan produk bermutu.

Katanya, Pachakan merupakan kampung tersohor dengan kampung nelayan yang memberi kelebihan kepada pengusaha keropok mendapatkan bahan mentah.

“Kami hampir dengan jeti pendaratan ikan di Tok Bali dan Kuala Besut, tiada masalah untuk mendapat bekalan ikan dengan harga lebih murah berbanding tempat lain.

“Produk keropok yang kita hasilkan mengandungi lebih bahan daripada ikan dan inilah faktor kenapa produk kami dapat sambutan,” katanya.

Menurutnya, selain menjual terus kepada pelanggan yang singgah di kedai, pengusaha turut membina rangkaian bagi memasarkan produk ke luar negeri menerusi pemborong.

Seorang lagi pengusaha, Zainuddin Abdul Ghani, 45, berkata, produk dari Zon Keropok itu turut mendapat pasaran baik di negeri lain seperti Perak, Kedah, Melaka, Pahang, Selangor dan Wilayah Persekutuan, Sabah serta Sarawak.

“Jualan di kedai biasanya lebih tinggi pada musim cuti sekolah apabila kawasan ini dikunjungi pembeli dari luar Kelantan,” katanya.

Justeru, kata Roslan, pengusaha berharap pihak berkuasa tempatan menggiatkan promosi kawasan tersebut bagi membolehkan pengusaha menjana ekonomi dengan lebih baik.

“Saya harap satu papan tanda besar dibina di sini untuk memberitahu orang ramai yang mereka berada di zon keropok, di mana berpuluh-puluh pengusaha tempatan bersaing secara sihat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 16 September 2015