11 Ogos 2014

Industri maritim terus berkembang di Tok Bali

Kerja-kerja menyelenggarakan kapal pesat dijalankan di limbungan milik SSME di Tok Bali.
PASIR PUTEH: Pembangunan baik di Tok Bali, di sini, membuka banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk mengembangkan perniagaan bersesuaian dengan keperluan persekitaran.

Semerak Shipyard And Maritime Engineering Sdn Bhd (SSME) yang mempunyai aset kekal melebihi RM10 juta mengungguli industri maritim di negeri ini selepas berjaya meningkatkan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembinaan kapal.

Ketua Pegawai Eksekutif SSME, Ismail Dollah optimis industri tersebut berdaya maju sesuai dengan persekitaran limbungannya yang terletak di Terusan Tok Bali.

Katanya, selain menyelenggarakan bot dan kapal, SSME berjaya membina bot tunda Ketengah untuk digunakan di Tasik Kenyir dan bot Catamaran untuk syarikat Gagnar Corporation Sdn Bhd.

Ketika ini katanya, pihaknya juga membina dua kapal penumpang aluminium sepanjang 40 meter milik syarikat Seawealth Maritime Service (SMS) Sdn Bhd bernilai RM34 juta.

“SSME juga menyelenggarakan aset daripada jabatan kerajaan seperti Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Laut dan Feri Sri Tanjung JKR serta aset syarikat swasta seperti Alam Maritim, Power Tium dan pengusaha bot laut dalam.

“Kita mempunyai 40 kaki tangan tetap dan 100 pekerja secara kontrak dalam kalangan pakar tempatan yang berupaya membaiki dan membina kapal dalam tempoh diperlukan menerusi penggunaan teknologi moden,” katanya.

Ismail berkata, selain mempunyai kelebihan sebagai syarikat milik bumiputera sepenuhnya, SSME menawarkan latihan bidang kejuruteraan kepada penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan kolej swasta.

“Kesemua pekerja adalah penduduk tempatan yang berpengalaman dalam pembinaan dan pembaikan kapal, manakala kaki tangan pengurusan pula memiliki pengalaman tinggi termasuk pesara tentera dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya.

Menurutnya, kewujudan SSME sudah pasti menjadi penyokong kepada program Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang memberi tumpuan kepada Tok Bali sebagai bandar maritim yang maju pada masa akan datang.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 10 Ogos 2014

Kerajaan Pusat setuju bina pelabuhan di Kelantan - Nik Aziz

KOTA BHARU: Kerajaan Pusat bersetuju untuk membina sebuah pelabuhan di Semerak, Tok Bali dekat sini di bawah pelan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Kerajaan negeri menyifatkan persetujuan tersebut membuktikan Kerajaan Pusat memberikan kerjasama yang terbaik kepada Kelantan di sebalik pelbagai kontroversi yang melanda sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh Kerajaan Pusat mengenai persetujuan tersebut dan telah menyediakan tanah di kawasan berkenaan untuk pembinaan projek itu.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan menghadiri majlis pecah tanah pelabuhan berkenaan yang belum ditentukan tarikhnya.

''Kerajaan Pusat bersetuju dengan cadangan kita untuk membina pelabuhan di Semerak, Tok Bali dan saya telah menulis surat menjemput Perdana Menteri datang ke majlis pecah tanah pelabuhan ini.

''Kita telah sediakan tanah di kawasan berkenaan dan pada masa ini sedang menunggu tarikh dari pejabat Perdana Menteri untuk adakan majlis pecah tanah ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian pecah tanah pembinaan kilang paip besi keluli di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa II di sini hari ini.

Kilang tersebut merupakan satu-satunya kilang pengeluaran paip jenis besi keluli di Pantai Timur dan mampu mencapai pengeluaran di antara 15,000 sehingga 20,000 tan metrik setahun apabila beroperasi pada pertengahan tahun depan.

Sebelum ini, kerajaan mencadangkan supaya sebuah pelabuhan dibina di Tumpat bagi membantu membangunkan negeri ini.

Nik Abdul Aziz bagaimanapun tidak memberitahu kos serta maklumat lanjut mengenai pembinaan pelabuhan tersebut.

''Ini menunjukkan kerjasama di antara kerajaan (Pusat) dengan kerajaan (negeri) berjalan dengan baik tanpa membabitkan perbezaan parti politik,'' katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Dalam Negeri | 10 Sept. 2009 | Terbitan 11 Sept. 2009