07 Februari 2015

Tok Bali pelabuhan strategik

Wan Hassan (tiga, kiri) mendengar penerangan mengenai pembinaan pelabuhan TBSB di Tok Bali pada 1 Februari 2015.
PASIR PUTEH: Tok Bali Supply Base (TBSB) di Tok Bali dekat sini, bakal muncul sebagai pelabuhan penting di Asia Tenggara dalam masa beberapa bulan lagi khususnya sebagai pemangkin industri berasaskan minyak dan gas di Kelantan.

Pengurus projeknya, Muhammad Fakhrezal Zainordin berkata, lokasi pelabuhan agak strategik dan berdaya saing dalam meneruskan hubungan dagang dengan negara serantau dan luar seperti China.

Katanya, selepas mengambil alih aset daripada East Coast Terminal beberapa bulan lalu, TBSB dalam kawasan operasi seluas 230 hektar lebih menumpukan kepada persediaan sokongan kepada industri minyak dan gas berbanding bijih besi.

“Kita kurangkan aktiviti bijih besi kerana industri minyak dan gas memerlukan persekitaran lebih bersih serta dilengkapi ciri-ciri keselamatan lebih baik.

“Kepesatan kerja cari gali minyak, perkhidmatan pengangkutan tenaga kerja dan pelbagai perbekalan termasuk urusan import dan eksport barangan ke luar negara memberi keyakinan kepada kita untuk memajukan pelabuhan ini,” katanya.

Menurutnya, walaupun TBSB belum siap sepenuhnya, aset dan kemudahan yang ada pada hari ini dikatakan lebih baik daripada pelabuhan Songkhla, Selatan Thailand.

"Pada asasnya pelabuhan ini sudah menerima kapal pertama berkaitan industri minyak dan gas. Ia berjalan dengan baik sekali gus menambah keyakinan kita menjelang waktu pelabuhan ini beroperasi secara rasmi beberapa bulan lagi," katanya.

Mengenai perjanjian membina Sekolah Kebangsaan Tok Bali yang terletak terlalu hampir dengan TBSB, beliau berkata, perjanjian asal dengan syarikat East Coast Terminal tidak lagi sepadan dengan TBSB.

Katanya, sekiranya perjanjian baharu berjalan lancar, pihaknya akan memberi perhatian dan sekolah tersebut akan disiapkan dalam tempoh dua tahun daripada tarikh perjanjian dimeterai kerana tapak gantian untuk sekolah tersebut sudah disediakan kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan taklimat mengenai TBSB dan Tok Bali Terminal bersempena kunjungan Penyelia Dun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim  bersama wakil Ahli Majlis Daerah Pasir Puteh dan penghulu-penghulu mukim Dun tersebut kelmarin.

Wan Hassan ketika ditemui berkata, kunjungan itu dibuat bagi membolehkan pemimpin masyarakat mengetahui dengan jelas perkembangan pembangunan pelabuhan tersebut kerana sebelum ini ia dikendalikan syarikat berbeza.

“Hasil kunjungan ini, pemimpin masyarakat mengetahui aktiviti dan perkembangan pelabuhan serta bersedia menyokong pembangunan itu dengan industri hiliran bagi menjana ekonomi penduduk,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 3 Februari 2015

TOK BALI SUPPLY BASE (TBSB) | PANGKALAN BEKALAN TOK BALI (TBSB) | PENYELIA DUN SEMERAK | WAN HASSAN WAN IBRAHIM 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan