23 Februari 2015

Projek Pangkalan Pembekalan Tok Bali mampu tarik pelaburan sehingga RM1 bilion, kata Mustapa

KUALA LUMPUR: Projek Pangkalan Pembekalan Tok Bali di Kelantan mampu menarik pelaburan sehingga RM1 bilion dalam masa tiga tahun akan datang.

Malah, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, projek itu turut memberi tempias kepada kawasan persekitaran Tok Bali serta di negeri berkenaan.

"Ia sememangnya satu projek yang amat penting untuk Kelantan. Inilah apa yang diharapkan rakyat Kelantan," katanya kepada wartawan pada satu sesi taklimat di sini, Isnin.

Mustapa berkata, syarikat pengendali pangkalan itu, Tok Bali Supply Base Sdn Bhd (TBSB), telah melabur kira-kira RM90 bilion bagi pembinaannya. Ia juga dijangka membabitkan perbelanjaan tambahan RM100 juta tahun ini bagi kegunaan TBSB dan rakan kongsinya.

Pihak TBSB juga ketika ini dalam proses rundingan dengan sebuah syarikat pakar paip bagi mewujudkan kilang salutan paip di pangkalan itu yang membabitkan pelaburan kira-kira RM340 juta bagi tempoh dua tahun akan datang.

Menurutnya, syarikat itu akan menduduki kawasan berkeluasan 32.37 hektar tanah pelabuhan itu bagi tujuan pembangunan kemudahan bekalan paip salutan khas untuk rantau ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi TBSB Jim Iler berkata pembangunan pangkalan pembekalan itu merangkumi tiga fasa iaitu fasa pertama dan kedua bertumpukan perkhidmatan kepada sektor minyak dan gas (O&G) manakala ketiga adalah pelabuhan.

"Kami berhasrat menjadi satu pusat sehenti yang menyediakan perkhidmatan kepada syarikat minyak dan gas yang beroperasi di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand, North Malay Basin dan Kawasan Perjanjian Komersil Malaysia-Vietnam," katanya.

Antara perkhidmatan yang akan ditawarkan di pangkalan bekalan itu adalah pembekalan dan penyimpanan, bahan api dan air, barangan keperluan serta gudang.

Menurut Iler, projek itu, termasuk pembinaan pelabuhan, dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Pada masa sekarang, Pangkalan Pembekalan Tok Bali itu dilengkapi lima kemudahan untuk kapal berlabuh, gudang seluas 5,000 meter persegi, pejabat, bahan api serta air.

Ia terletak di tapak berkeluasan 132.73 hektar yang boleh diperluaskan sehingga 485.62 hektar.

Pangkalan Pembekalan Tok Bali itu adalah yang ketiga dilesenkan di Malaysia selepas kemudahan sama di Kemaman dan Labuan.

Sumber: Bernama | 23 Feb. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan