Bangkai bot yang terbakar dua tahun lalu, masih tersadai di tengah-tengah Terusan Semerak. |
PASIR PUTEH: Dua tahun lalu, penduduk Tok Bali di sini, gempar dengan berita mengenai bot nelayan terbakar berhampiran jeti persendirian di Terusan Semerak.
Hari ini, bangkai salah satu daripada bot berkenaan tersadai di tengah-tengah terusan, sekali gus mencacatkan pemandangan.
Penyelia Dun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, selain memberikan imej baik kepada pelancong domestik dan luar, bangkai itu perlu dialihkan bagi menjamin keselamatan kepada bot-bot yang menggunakan terusan itu.
“Saya berharap ia dapat dialihkan segera kerana memberi imej buruk kepada negeri ini secara amnya.
“Ia tidak wajar dibiarkan begitu sahaja kerana Terusan Semerak dan Sungai Semerak dari terusan ke Kuala Semerak cukup berpotensi untuk dimajukan sebagai lokasi pelancongan,” katanya.
Malah katanya, nelayan pesisir pantai turut menjadikan bot mereka sebagai bot pelancongan menyusuri terusan dan sungai untuk menambah pendapatan.
Beliau berkata demikian ketika meninjau Sungai Semerak dan Terusan Semerak bersama Ketua Ahli Majlis Daerah Pasir Puteh, Saipul Bahrin Mohamed dan Penghulu-penghulu mukim Dun Semerak, semalam.
Beliau difahamkan beberapa syarikat berminat menawarkan perkhidmatan ‘cruise’ sungai dengan mengenakan bayaran berpatutan.
Bagaimanapun katanya, ia belum beroperasi dengan baik mungkin kerana masih banyak ‘kecacatan’ di sepanjang sungai yang perlu diatasi terlebih dahulu.
Wan Hassan berkata, beliau yakin perkhidmatan untuk pelancong menyusuri sungai berjaya memandangkan kawasan itu masih kaya dengan keindahan alam.
“Malangnya di tebing sungai dan terusan terdapat banyak bot-bot rosak yang terbiar begitu sahaja.
“Saya berharap pihak berkenaan bertindak seberapa segera untuk mengalihkannya atau melupuskannya sebagai tukun tiruan,” katanya.
Selain itu katanya, beratus sangkar ikan di Kuala Semerak perlu selenggara dengan baik termasuk kerja penyusunan semula supaya ia kelihatan lebih baik pada mata pelancong.
“Pelancong menyusuri sungai boleh singgah membeli ikan di sangkar tetapi ia akan lebih baik sekiranya sangkar diletakkan dalam keadaan tersusun,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 2 Februari 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan