KUALA LUMPUR: Fasa pertama Pangkalan Pembekalan Tok Bali, projek pangkalan pembekalan aktiviti sokongan luar pesisir untuk sektor minyak dan gas di muara selatan Terusan Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan, sedia untuk beroperasi pada April ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata lebih RM90 juta dibelanjakan untuk menyiapkan fasa pertama projek itu, pangkalan pembekalan minyak dan gas ketiga negara.
Katanya, ia antara lain membabitkan pembinaan jeti dan dermaga sepanjang 500 meter merangkumi lima dermaga kapal sokongan, 70 meter jeti, gudang dengan keluasan lantai 5,000 meter persegi, pejabat, bekalan bahan api dan air.
"Dalam (tempoh) dua bulan akan datang, dua lagi gudang akan siap, setiap satu dengan keluasan lantai 2,700 meter persegi, disusuli pembinaan empat gudang bersaiz sama selepas itu," katanya pada taklimat berhubung perkembangan terkini projek ikonik pertama Kelantan itu di sini hari ini.
Pangkalan Pembekalan Tok Bali bertujuan menyediakan pusat sehenti bagi Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) dan syarikat perkhidmatan di kawasan pembangunan bersama (JDA) Lembangan Melayu Utara.
JDA adalah kawasan penerokaan sumber minyak dan gas yang membabitkan usaha sama Malaysia - Thailand.
Mustapa berkata, pembukaan pangkalan pembekalan itu nanti akan dapat menjimatkan kos operasi syarikat minyak yang terbabit dengan usaha cari gali minyak di JDA, sekali gus merancakkan industri minyak dan gas di Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
Projek itu juga akan menjadi pemangkin baharu perkembangan ekonomi Kelantan, selain bakal menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk.
"Tambahan RM100 juta lagi akan dilaburkan di pangkalan itu tahun ini membabitkan pembangunan infrastruktur sokongan lain," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tok Bali Supply Base Sdn Bhd (TBSB), Jim Iler, berkata pelaburan tambahan RM100 juta itu akan ditumpukan kepada kerja pembangunan infrastruktur sokongan lain, seperti bangunan pelanggan dan imigresen, kantin, pejabat dan 'rigging loft' iaitu kawasan dermaga bagi kerja menyiapkan pelantar minyak.
Tumpuan berikut, katanya ialah kepada pembangunan pelabuhan dengan jeti sepanjang dua kilometer untuk menampung keperluan kapal yang lebih besar.
Sumber: Berita Harian | 23 Februari 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan