18 Februari 2015

Pangkalan Pembekalan Tok Bali sedia untuk beroperasi hujung Mac ini

Muhammad Fakhrezal Zainordin (tengah - berbaju biru laut) memberi penerangan tentang projek Pangkalan Pembekalan Tok Bali pada 1 Februari lepas.
TOK BALI: Pangkalan Pembekalan Tok Bali (Tok Bali Supply Base) yang terletak di muara selatan Terusan Tok Bali sudah bersedia untuk beroperasi pada hujung Mac ini. 

Menurut pengurus projeknya, Muhammad Fakhrezal Zainordin, lokasi pangkalan pembekalan ini amat strategik kerana ia terletak kira-kira 160 kilometer (km) sahaja dari Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia - Thailand (JDA) berbanding 360 km dari atau ke Pangkalan Pembekalan Kemaman (Terengganu) dan 227 km dari atau ke Pangkalan Pembekalan Songkhla (Selatan Thailand). 

JDA merupakan kawasan penerokaan sumber minyak dan gas yang melibatkan usahasama Malaysia - Thailand. Pembukaan pangkalan bekalan ini nanti akan dapat menjimatkan kos operasi syarikat-syarikat minyak yang terlibat dengan usaha cari gali minyak di JDA sekali gus merancakkan industri minyak dan gas (O&G) di Wilayah Ekonomi Pantai Timur. 

Pembangunan pangkalan pembekalan ini merupakan salah satu daripada dua komponen utama pembangunan Pelabuhan Tok Bali. Pembangunan pangkalan bekalan ini termasuk di bawah Fasa 1 yang kemudiannya dipecahkan kepada beberapa fasa kecil atau subfasa. Menurut beliau lagi, kos keseluruhan pembangunan Fasa 1 ini adalah antara RM200 juta sehingga RM250 juta. 

Pangkalan pembekalan ini akan menjadi pangkalan bekalan yang ketiga di Malaysia selepas pangkalan-pangkalan pembekalan di Kemaman (Terengganu) dan Labuan (Wilayah Persekutuan). Pangkalan pembekalan ini diuruskan TB Suppy Base Sdn. Bhd. (TBSB), iaitu anak syarikat Matrix Reservoir. 
Pangkalan Bekalan Tok Bali yang sudah bersedia untuk beroperasi pada penghujung Mac atau April 2015 nanti.
Pembangunan Fasa 2 pula melibatkan kawasan muara utara Terusan Semerak yang melibatkan pembinaan terminal pelabuhan komersial. Muara utara Terusan Tok Bali merupakan kawasan Pantai Tok Bali yang akan diambil alih untuk dibangunkan sehingga ke sempadan Pasir Puteh - Bachok. 

Kerja-kerja pengambilalihan tanah sedang dilakukan dan projek hanya dapat dimulakan selepas proses pengambilalihan tanah selesai. 

Pelabuhan komersial ini pula akan diuruskan satu lagi anak syarikat Matrix Reservoir, iaitu TB Terminals Sdn. Bhd. (TBT). Matrix Reservoir merupakan syarikat baharu yang mengambil alih aset daripada East Coast Terminal Sdn. Bhd. (ECT) pada Jun 2014. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan