PASIR PUTEH: Jalan Persekutuan baharu yang menghubungkan Pasir Puteh-Gong Kulim-Tok Bali di sini, yang mula dibuka kepada semua kenderaan bulan lepas, akan merancakkan pembangunan Bandar Perikanan Tok Bali.
Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh, Zawawi Othman berkata, jalan sepanjang 10 kilometer itu hanya mengambil masa selama 15 minit dari bandar Pasir Puteh ke Tok Bali berbanding jalan lama Pasir Puteh-Tebing Tinggi-Tok Bali sejauh 13 kilometer yang mengambil masa 40 minit.
"Jalan baharu yang bernilai lebih RM100 juta itu lebih selesa dan kukuh berbanding jalan lama yang mudah rosak jika dilalui kenderaan berat dan mempunyai banyak selekoh berbahaya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.
Zawawi yang juga Adun Semerak berkata, jalan berkenaan yang dibuka seminggu sebelum Aidilfitri juga dapat mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas.
Beliau berkata keadaan itu dijangka akan dapat menarik minat pelabur khususnya dalam industri perikanan ke Bandar Perikanan Tok Bali.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Semerak, Datuk Jelani Jaafar ketika dihubungi berkata, jalan berkenaan sudah lama ditunggu-tunggu oleh semua pihak termasuk nelayan Semerak sendiri.
Beliau berkata, ini kerana ia akan memberi kemudahan kepada pengguna untuk mendapatkan ikan segar dan murah secara terus di pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) atau daripada nelayan tradisional di Tok Bali tanpa perlu melalui orang tengah.
"Kita berharap pemborong dan peruncit yang menjaja ikan secara kecil-kecilan dengan motosikal ke kampung-kampung dapat menurunkan harga ikan tanpa alasan kerana kos pengangkutan lebih rendah berbanding sebelum ini," katanya.
Sumber: Bernama | 5 Ogos 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan