07 Mac 2015

Golongan remaja usah ghairah kejar ganjaran mengedar dadah

Mazlan (dua, kiri) beramah mesra dengan kariah Masjid Kampung Pulau Lima selepas selesai menunaikan solat Jumaat, semalam.
PASIR PUTEH: Golongan remaja diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan upah lumayan antara RM500 hingga RM1,000 sebulan yang ditawarkan pengedar dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, golongan terbabit tidak menyedari mereka sebenarnya ditipu oleh sindiket yang sengaja menjadikan mereka sebagai mangsa.

“Upah sebanyak itu cukup untuk membuatkan pelajar gelap mata dan lebih menyedihkan mereka terseret ke kancah dadah,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan rekod polis bermula Januari hingga 3 Mac lalu, seramai 83 remaja berusia 18 tahun ke bawah berjaya ditangkap atas kesalahan menagih dan mengedar dadah.

Daripada jumlah itu katanya, 16 adalah pelajar sekolah, lima penuntut universiti dan selebihnya remaja yang sudah tidak bersekolah.

“Mereka terpengaruh dengan janji manis sindiket pengedar dadah yang menawarkan pelbagai tawaran menarik termasuk pakej pelancongan selain ganjaran wang tunai.

“Kerana ghairah untuk mendapat ganjaran itu, mereka sanggup menjadi keldai dadah tanpa rasa takut kepada undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Pulau Lima, Semerak, dekat sini, semalam.

Terdahulu, Mazlan mengadakan lawatan sempena Program Komuniti Polis Kelantan bersama masyarakat Semerak, dekat sini.

Hadir sama, Adun Semerak, Zawawi Othman; Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Abd Rozak Muhammad dan Imam Tua Masjid Pulau Lima, Abd Ghaffar Awang.

Dalam pada itu Mazlan berkata, institusi masjid berperanan besar dalam membantu polis menyampaikan maklumat kepada masyarakat terutama remaja melalui teks khutbah dan majlis ilmu anjuran masjid.

“Kami menggariskan tiga pendekatan iaitu meminta orang awam menyalurkan maklumat, mengeratkan hubungan polis dengan komuniti dan sentiasa mengadakan rondaan bersama seperti Skim Rondaan Sukarela (SRS).

“Kerjasama masyarakat setempat adalah penting dalam membantu polis bagi membendung gejala negatif termasuk pembabitan remaja dalam jenayah,” katanya.

Ketika ditanya mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Chempaka, beliau berkata, seramai 600 anggota polis akan ditempatkan ketika hari penamaan calon dan sepanjang kempen.

“Seramai 1,000 anggota polis pula akan dikerahkan bertugas pada hari pembuangan undi, hanya polis Kelantan terlibat.

“Saya mohon kerjasama daripada penyokong parti yang bakal bertanding kelak supaya sentiasa menjaga tingkah laku dan keamanan demokrasi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 7 Mac 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan