26 April 2015

Boksing sinonim dengan rakyat Kelantan

Regu tempatan turut mencuri tumpuan pada hari pertama Kejohanan Boksing Terbuka MDPP malam kelmarin.
PASIR PUTEH: Walaupun ia berasal dari negara jiran, Thailand, namun seni mempertahankan diri bernama Muay Thai atau disebut boksing di Kelantan, sudah lama sinonim dengan masyarakat di negeri Che Siti Wan Kembang.

Setiausaha Majlis Daerah Pasir Puteh, Ahmad Shargowi Derahman berkata, seni itu berkembang dengan baik di negeri ini sehingga dapat melahirkan ramai petinju tempatan yang berpotensi.

Katanya, Badan Kebajikan dan Sukan (Berkat) MDPP tidak mahu ketinggalan dalam usaha menyemarakkan sukan tersebut dengan menganjurkan Kejohanan Boksing Terbuka MDPP selama tiga hari bermula kelmarin (Jumaat).

Menurutnya, kejohanan itu mendapat kerjasama daripada Persatuan Boksing Negeri Kelantan yang mempunyai ramai ahli berpengalaman dalam sukan berkenaan.

"Boksing sememangnya sudah sangat sinonim dengan masyarakat kita dengan wujudnya banyak gelanggang di kampung-kampung. Dulu petinju kita pergi ke Thailand untuk cuba nasib, tetapi sekarang petinju Thailand pula bertandang ke negeri ini.

"Saya melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang positif terutama Muay Thai sudah diterima sebagai salah satu acara dalam Sukan Sea," katanya.

Jumaat lalu, kejohanan berkenaan menampilkan empat regu tempatan dan satu regu jemputan, iaitu Amy Semerah Padi dari kelab Red Army menentang peserta dari Thailand, Sawatchai yang berakhir dengan kemenangan Amy selepas menjatuhkan lawannya pada pusingan pertama.

Malam ini, lima regu lagi akan berentap, termasuk regu jemputan Aiman (Red Army) melawan Yaya T Warat (Yala, Thailand) sementara esok, pertembungan Tengku Shahrizal (Kuda Merah) dengan Le Yon (Yala, Thailand) dijangka menjadi perlawanan tumpuan.

Tambah Shargowi, Kejohanan Boksing MDPP merupakan medang petinju baharu mempamerkan ketangkasan mereka sebelum melangkah lebih jauh dalam arena sukan tempur itu.

"Prestasi anak muay tempatan amat baik walaupun pertama kali beraksi di gelanggang. Mereka bersemangat dan tidak gugup.

"Kejohanan ini juga bertujuan merapatkan hubungan warga MDPP dengan masyarakat serta gambaran yang MDPP turut memberi tumpuan kepada aktiviti sosial," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 April 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan