26 April 2015

Boksing sinonim dengan rakyat Kelantan

Regu tempatan turut mencuri tumpuan pada hari pertama Kejohanan Boksing Terbuka MDPP malam kelmarin.
PASIR PUTEH: Walaupun ia berasal dari negara jiran, Thailand, namun seni mempertahankan diri bernama Muay Thai atau disebut boksing di Kelantan, sudah lama sinonim dengan masyarakat di negeri Che Siti Wan Kembang.

Setiausaha Majlis Daerah Pasir Puteh, Ahmad Shargowi Derahman berkata, seni itu berkembang dengan baik di negeri ini sehingga dapat melahirkan ramai petinju tempatan yang berpotensi.

Katanya, Badan Kebajikan dan Sukan (Berkat) MDPP tidak mahu ketinggalan dalam usaha menyemarakkan sukan tersebut dengan menganjurkan Kejohanan Boksing Terbuka MDPP selama tiga hari bermula kelmarin (Jumaat).

Menurutnya, kejohanan itu mendapat kerjasama daripada Persatuan Boksing Negeri Kelantan yang mempunyai ramai ahli berpengalaman dalam sukan berkenaan.

"Boksing sememangnya sudah sangat sinonim dengan masyarakat kita dengan wujudnya banyak gelanggang di kampung-kampung. Dulu petinju kita pergi ke Thailand untuk cuba nasib, tetapi sekarang petinju Thailand pula bertandang ke negeri ini.

"Saya melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang positif terutama Muay Thai sudah diterima sebagai salah satu acara dalam Sukan Sea," katanya.

Jumaat lalu, kejohanan berkenaan menampilkan empat regu tempatan dan satu regu jemputan, iaitu Amy Semerah Padi dari kelab Red Army menentang peserta dari Thailand, Sawatchai yang berakhir dengan kemenangan Amy selepas menjatuhkan lawannya pada pusingan pertama.

Malam ini, lima regu lagi akan berentap, termasuk regu jemputan Aiman (Red Army) melawan Yaya T Warat (Yala, Thailand) sementara esok, pertembungan Tengku Shahrizal (Kuda Merah) dengan Le Yon (Yala, Thailand) dijangka menjadi perlawanan tumpuan.

Tambah Shargowi, Kejohanan Boksing MDPP merupakan medang petinju baharu mempamerkan ketangkasan mereka sebelum melangkah lebih jauh dalam arena sukan tempur itu.

"Prestasi anak muay tempatan amat baik walaupun pertama kali beraksi di gelanggang. Mereka bersemangat dan tidak gugup.

"Kejohanan ini juga bertujuan merapatkan hubungan warga MDPP dengan masyarakat serta gambaran yang MDPP turut memberi tumpuan kepada aktiviti sosial," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 April 2015

17 April 2015

Pangkalan Pembekalan Tok Bali telah mula operasi sejak 26 Mac lepas

Pangkalan Pembekalan Tok Bali yang telah memulakan operasinya sejak 26 Mac 2015. Foto ihsan: Tok Bali Supply Base Sdn. Bhd. 
TOK BALI: Pangkalan Pembekalan Tok Bali (TBSB) yang dikendalikan Tok Bali Supply Base Sdn. Bhd. (TBSB) telah memulakan operasinya pada 26 Mac lepas. 

Menurut pengurus projeknya, Muhammad Fakhrezal Zainordin,  setakat 15 April TBSB telah mengendalikan tiga operasi utama di pangkalannya yang melibatkan syarikat CPOC dan Exxon-Mobil, manakala syarikat HESS akan memindahkan sepenuhnya operasinya dari Pangkalan Pembekalan Kemaman (KSB) ke pangkalan pembekalan baharu ini pada Jun ini. 

Sementara itu, pihak TBSB masih lagi dalam perbincangan dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengambil alih tapak sekolah berhampiran berserta cadangan pembinaan sekolah baharu di lokasi lain yang telah dikenal pasti sebagai ganti. 

TBSB merupakan sebahagian daripada komponen pembangunan Pelabuhan Tok Bali yang akan dibangunkan melalui beberapa fasa termasuk pembinaan pelabuhan kargo di sebelah muara utara Terusan Tok Bali. 

TBSB secara khususnya dan Pelabuhan Tok Bali secara amnya dijangka akan bertambah maju apabila projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dari Kuala Terengganu ke Pengkalan Kubor yang turut melalui Tok Bali siap menjelang 2020. Projek LPT3 ini dijangka bermula pada tahun hadapan.